Lelaki Parah Terjatuh di Landasan LRT Laluan Kelana Jaya

 

SHAH ALAM, 4 Julai – Seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di kepala selepas terjatuh ke atas landasan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya di Stesen Subang Alam, dekat Seksyen 27, pagi Jumaat lalu.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.07 pagi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi.


“Sebaik tiba, pasukan penyelamat dimaklumkan bahawa orang awam telah menarik keluar mangsa dari landasan sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan.


Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Rapid Rail Sdn Bhd mengesahkan insiden tersebut melibatkan seorang penumpang yang menceroboh kawasan landasan dan dipercayai cuba mencederakan diri sendiri.


“Individu berkenaan disyaki melompat ke landasan ketika sebuah tren sedang menghampiri platform. Mangsa berjaya diselamatkan, namun mengalami kecederaan serius,” kata kenyataan itu.


Mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Pihak berkuasa masih menyiasat motif kejadian dan menggesa orang ramai untuk lebih peka terhadap keselamatan diri dan pengguna lain ketika berada di kawasan stesen dan platform.


Orang awam yang mengalami tekanan emosi atau masalah mental disarankan untuk mendapatkan bantuan menerusi talian sokongan psikososial seperti Talian HEAL 15555 atau Befrienders di 03-7627 2929.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post