Pasangan Kekasih Subahat Rogol Anak Gadis 12 Tahun

 

Ampang Selangor, 4 Julai – Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas tuduhan bersubahat dalam kes rogol seorang gadis berusia 12 tahun, yang juga merupakan anak kandung wanita terbabit. Kejadian rogol itu didakwa berlaku sekitar pertengahan tahun 2024.


Kedua-dua tertuduh, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun dan pasangannya yang berusia 37 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.


Lelaki berusia 61 tahun, yang merupakan seorang peniaga nasi lemak, didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Taman Seraya, Ampang, sekitar pukul 4 petang pada pertengahan tahun lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Ibu kandung mangsa, seorang pengawal keselamatan, pula didakwa bersubahat dengan teman lelakinya merogol anaknya. Kesalahan ini dikatakan dilakukan hasil daripada persubahatannya di lokasi dan masa yang sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 375(g) kanun yang sama. Hukuman yang diperuntukkan adalah penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin, tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira hubungan mereka dan potensi gangguan terhadap mangsa.


"Pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh lelaki memandangkan ada hubungan dengan tertuduh wanita, mangsa adalah anak kandung kepada wanita itu yang dikhuatiri ada gangguan terhadap mangsa," jelas Muhammad Hairuliqram.


Bagi tertuduh wanita pula, jaminan tidak ditawarkan kerana mangsa tinggal bersamanya, menimbulkan kebimbangan akan gangguan di masa hadapan. Muhammad Hairuliqram turut mengesahkan bahawa mangsa kini tinggal berasingan dan menetap bersama ibu saudaranya.


Tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam dilihat beberapa kali cuba mencelah untuk menyatakan sesuatu kepada Hakim Norshila.


"Saya dituduh dalam kes rogol tapi dalam tahanan selama tujuh hari saya tidak diambil DNA (asid deoksiribonukleik)," katanya.


Norshila kemudian meminta tertuduh lelaki mengemukakan perkara itu semasa perbicaraan kelak.


Ketika ditanya oleh Hakim Norshila sama ada kedua-dua tertuduh mempunyai penjamin yang hadir, pasangan kekasih itu mengesahkan tiada ahli keluarga atau penjamin yang hadir untuk mereka.


Mendengar pengesahan tersebut, Hakim Norshila menetapkan 7 Ogos ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post