KUALA LUMPUR, 8 Okt – Fenomena meminta bantuan kewangan secara terbuka di media sosial dilihat semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat, hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Terbaru, tular di sebuah kumpulan Facebook ‘sedekah’ apabila seorang individu secara terbuka memohon sumbangan daripada orang ramai untuk melangsaikan hutang peribadi berjumlah RM4,707.94.
Tanpa berselindung, individu berkenaan berkongsi tangkap layar jumlah hutangnya dan menulis:
"Saya kena bayar hutang sebanyak ini, siapa boleh derma dekat saya?(Bagi) seorang seringgit guys, buntu guys... terima kasih sangat."
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi, rata-rata mengecam tindakan individu tersebut yang dianggap tidak bertanggungjawab serta mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kewangan sendiri.
Seorang pengguna media sosial, Sya, turut berkongsi semula hantaran berkenaan menerusi platform Thread sambil menyelar sikap individu terbabit yang dilihat seolah-olah menjadikan orang ramai sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan hutang sendiri.
"Sakit betul masyarakat kita ni, kau berhutang lepas itu minta derma dekat orang untuk bayar.Seronoklah macam tu, aku pun nak minta derma macam ni," katanya secara sinis.
Menurut Sya, tindakan sebegitu mencerminkan kegagalan seseorang untuk bertanggungjawab terhadap komitmen kewangan sendiri. Beliau juga berkongsi bahawa dirinya melakukan sehingga lima hingga enam kerja dalam sehari demi menunaikan tanggungjawab hidup tanpa bergantung kepada orang lain.
"Jangan nak cakap ujian kita berbeza. Usaha! Aku sendiri pun lima enam jenis kerja aku buat. Aku tahu ada tanggungjawab," tegasnya.
Luahan Sya itu mendapat sokongan ramai netizen yang turut menyuarakan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang semakin berani ‘mengemis’ secara terbuka di media sosial, tanpa rasa malu atau usaha untuk berdikari.
Antara komen yang ditinggalkan netizen:
"Ramai sangat spesis tak tahu malu mengemis kat Thread."
"Dia beli barang, kemudian hutang tu orang lain kena bayar. Dia sedap pakai barang tu, kita pula yang struggle nak tolong bayarkan."
"Kalau ya pun terdesak sangat, cubalah usaha sedikit dengan sediakan servis dan perkhidmatan."
"Siapa yang tolong dermakan untuk dia memang tak cerdik, ramai lagi orang susah… dia yang berbelanja tak ingat poket."
Fenomena ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai sempadan antara empati sosial dan penyalahgunaan platform atas talian untuk kepentingan peribadi.
Walaupun tidak dinafikan terdapat individu yang benar-benar memerlukan bantuan, namun masyarakat dilihat semakin skeptikal akibat wujudnya pihak yang mengambil kesempatan, seterusnya menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap permintaan bantuan secara terbuka di platform digital.
Post a Comment