SERDANG, 7 Okt – Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) diingatkan agar tidak bertindak agresif sekiranya mereka dipintas atau ditahan oleh tentera Israel.
Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, menegaskan bahawa peserta harus kekal tenang dan rasional bagi mengelakkan sebarang tindakan kasar daripada tentera rejim berkenaan.
“Peserta ini diminta sangat-sangat supaya tenang sentiasa. Jangan agresif kerana itu menjadi satu bahan untuk Israel mengasari mereka pula.Jangan jadikan apa-apa sebagai alasan untuk Israel agresif. Jadi persediaan minda sangat-sangat kritikal,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MyCARE, di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua peserta misi telah melalui saringan ketat termasuk penilaian terhadap kesediaan mental dan reaksi mereka dalam situasi getir.
“Kita buat latihan simulasi untuk melihat bagaimana mereka bertindak jika berlaku kekerasan daripada tentera Israel.Kalau orang itu agresif sikit, dia tidak akan dipilih untuk bersama misi kerana boleh menyusahkan atau memberi kesan kepada peserta lain,” jelasnya.
93 Peserta dari 22 Negara, 9 Wakil Malaysia Terlibat
Delegasi Malaysia seramai sembilan orang menyertai pelayaran kapal Conscience dan Umm Saad, yang merupakan sebahagian daripada konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kapal Conscience, kapal terbesar dalam misi ini, membawa 93 peserta termasuk:
- 10 kru,
- 20 wartawan antarabangsa,
- 21 pakar perubatan,
- 3 ahli Parlimen,
- 34 aktivis, dan
- 6 ahli Jawatankuasa Pemandu FFC.
Kapal itu telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lalu.
Antara wakil Malaysia di atas kapal Conscience termasuk:
- Prof. Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali – Ketua Delegasi Malaysia,
- Dr Fauziah Mohd Hassan,
- Dr Hafiz Sulaiman,
- Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi,
- Prof. Dr Mohd Afandi Salleh,
- Dr Noorhasyimah Ismail,
- Norsham Abu Bakar (Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE), dan
- Syafik Shukri Abdul Jalil (wartawan Astro Awani).
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal layar Umm Saad yang berlayar dari Catania, Sicily, bersama tujuh kapal layar lain pada 27 September menuju ke Gaza.
Secara keseluruhan, misi flotilla ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza yang terus dikepung dan diserang oleh rejim Israel.
Misi ini membawa bantuan makanan, perubatan, dan sokongan moral kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat konflik yang berpanjangan dan sekatan berterusan.
Meskipun berdepan risiko tinggi, kesemua peserta termasuk dari Malaysia terus berpegang kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat Gaza.
Post a Comment