PASIR MAS – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang guru yang didakwa menikam anak kandungnya menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia, Perak, bagi menilai tahap kesihatan mentalnya.
Permintaan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’iah, yang memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital berkenaan susulan maklumat berkaitan keadaan mental lelaki tersebut.
Hakim Zulkpli Abdullah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mengetahui hasil laporan pemeriksaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan selepas dipercayai ditikam oleh bapa kandungnya sendiri sebanyak dua kali di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol, pada 2 Mei lalu.
Siasatan awal mendapati suspek mengalami masalah kesihatan mental dan telah menerima rawatan psikiatri secara berterusan sejak tahun 2008.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan emosi akibat krisis rumah tangga yang dihadapi suspek. Difahamkan, lelaki itu sedang dalam proses penceraian dengan isterinya buat kali ketiga, yang mana kes tersebut dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei ini.
Post a Comment