KUALA LUMPUR, 7 Okt – Penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali mengakui meletakkan beberapa syarat tertentu sebelum menerima sebarang tawaran berlakon bagi memastikan dia dapat membahagikan masa dengan seimbang antara kerjaya seni dan keluarga.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 33, dia tidak mahu tempoh penggambaran yang terlalu panjang menjejaskan prestasi serta kualiti lakonannya kerana tenaga dan fokus yang diperlukan dalam bidang tersebut sangat tinggi.
“Kalau ikutkan memang ada letakkan syarat sebelum terima tawaran lakonan. Tapi saya faham susah juga nak ikut masa kita sahaja.
“Jujurnya kalau boleh saya nak balik paling lewat pukul 10 malam. Bukan sebab anak semata-mata kerana orang lain pun ada anak. Tapi saya rasa tenaga yang diperlukan cukup dari 10 pagi sehingga 10 malam.
“Kalau kerja lebih dari 12 jam saya sendiri tak mampu berikan hasil kerja terbaik. Lagipun saya pentingkan kualiti daripada kuantiti,” katanya kepada mStar.
Selepas berehat hampir setahun kerana menjalani tempoh kehamilan dan melahirkan cahaya mata sulung, Nabila berkata kini dia sudah bersedia untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.
Katanya, drama Me.N.U merupakan naskhah pertamanya selepas kembali aktif dan menjadi langkah awal untuk membina semula momentum dalam bidang tersebut.
“Alhamdulillah sekarang dah dapat rentak nak bahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Saya takut juga nak tinggalkan bidang lakonan terlalu lama sebab ramai juga mengenali saya daripada situ.
“Jadi sebab itu saya terima tawaran drama Me.N.U supaya orang tak lupa yang saya masih berlakon,” jelasnya.
Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Nik Muhammad, yang kini berusia 10 bulan.
Nabila sebelum ini dikenali menerusi lakonannya dalam beberapa drama popular selain mencipta nama sebagai penyanyi dengan lagu-lagu hit seperti Pematah Hati dan Peluang Kedua.
Post a Comment