KUALA LUMPUR, 7 Okt — Pelakon terkenal, Nadzmi Adhwa mendedahkan bahawa beliau kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan telah meningkatkan tahap keselamatan diri serta keluarganya susulan pendedahan mengejutkan bahawa mereka sedang diperhatikan oleh individu yang disyaki menjadi tali barut kepada rejim Zionis Israel yang berada di Malaysia.
Menurut Nadzmi, beliau mula menyedari gerak-geri dirinya serta anak-anak diperhatikan selepas isterinya, Ardell Aryana, mendakwa menerima ugutan ketika berada dalam tahanan tentera Israel baru-baru ini.
"Saya dalam keadaan berjaga-jaga. Kadang ada rasa pelik, seolah-olah sedang diperhatikan. Disebabkan itu, saya mengambil langkah untuk tidak mendedahkan keberadaan saya di media sosial," kata Nadzmi ketika dihubungi mStar.
Beliau turut meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anaknya, terutama selepas insiden ugutan terhadap Ardell yang turut menyentuh hal ehwal keluarga mereka.
“Saya paling risau keselamatan anak-anak sebab mereka ugut Ardell ketika dalam tahanan. Mereka ada ejen di sini yang mungkin kita tak tahu. Harap tiada apa-apa, tapi sekarang ini saya tingkatkan keselamatan anak-anak," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Nadzmi berkata setakat ini beliau belum membuat sebarang laporan polis kerana masih berada dalam keadaan selamat, dan pihak polis juga sedang memantau keselamatan keluarganya.
"Belum buat laporan lagi sebab polis memang menjaga kami sekarang. Cuma kalau berlaku kejadian yang tidak diingini, saya akan maklumkan pada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)," jelasnya.
Nadzmi turut mendakwa bahawa Ardell telah menerima layanan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan semasa dalam tahanan, termasuk dipukul dan diseksa secara fizikal dan mental.
"Pergerakan sedang diperhatikan. Saya nak bergerak ke mana-mana pun susah sekarang ni. Ada juga orang Malaysia yang sanggup menjadi tali barut.
"Teruk isteri saya kena... sangat-sangat teruk. Sampai bahu dia koyak, muntah-muntah, kena tumbuk, heret, tarik rambut, tarik tudung. Mereka tahu siapa Ardell. Mereka tahu siapa suami dan anak-anak," katanya penuh emosi.
Sebelum ini, Nadzmi telah berkongsi secara langsung di TikTok mengenai pengalaman pahit yang dilalui oleh Ardell sepanjang berada dalam tahanan pihak Israel, yang disifatkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus berdoa untuk keselamatan keluarganya dan berharap agar pihak berkuasa mengambil serius ancaman yang dihadapi mereka.
Post a Comment