Rawatan Tradisional Pelik Jejas Peluang Sembuh Pesakit Kanser

 

GEORGE TOWN, 2 Sept — Di sebalik kemajuan pesat dunia perubatan moden, masih ada segelintir masyarakat yang memilih untuk bergantung kepada kaedah rawatan tradisional yang tidak berasaskan sains bagi merawat penyakit kritikal seperti kanser. Lebih membimbangkan, antara petua yang diamalkan termasuk minum air rebusan pokok paku dan menggunakan najis burung merpati.


Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib, berkata amalan ini masih wujud hingga ke hari ini, terutama dalam kalangan keluarga yang baru menerima diagnosis kanser bagi anak mereka.


“Bila penyakit masih di peringkat awal, mereka percaya rawatan tradisional boleh membantu. Tapi bila dah melarat ke tahap kritikal, barulah pesakit dibawa ke hospital. Sayangnya, pada ketika itu rawatan moden seperti kemoterapi atau pembedahan selalunya tidak lagi berkesan sepenuhnya,” katanya.


Tambah beliau, ada ibu bapa yang sanggup mempercayai bomoh dan memberi anak makan sayur sahaja dengan alasan 'buang toksin'. Akibatnya, anak menjadi terlalu kurus, kekurangan zat, dan tidak cukup kuat untuk menjalani rawatan penting seperti kemoterapi atau radioterapi.


FOCCAN sebelum ini pernah mengendalikan kes-kes menyayat hati, termasuk kanser tulang yang hanya dikesan setelah ia merebak teruk hingga memerlukan anggota badan dipotong, serta kes kanser otak yang lewat dirawat sehingga merosakkan fungsi motor pesakit.


“Sejak Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, kami menerima 48 kes baharu kanser kanak-kanak, lima kes berulang, dan empat kes pesakit sedang menjalani transplantasi sumsum tulang,” katanya.


Kes paling mengejutkan melibatkan seorang bayi berusia sebulan yang disahkan menghidap kanser neuroblastoma iaitu sejenis kanser jarang berlaku pada bayi.


FOCCAN bukan sahaja memberi bantuan dari segi moral dan emosi kepada keluarga pesakit, tetapi juga aktif melaksanakan kempen kesedaran agar pemeriksaan kesihatan dijalankan lebih awal bagi meningkatkan peluang sembuh.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, menegaskan bahawa pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting untuk pengesanan awal kanser.


Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 400,000 kanak-kanak dan remaja bawah 19 tahun menghidap kanser setiap tahun di seluruh dunia.


“Jika dikesan awal dan dirawat menggunakan kaedah moden, kadar kelangsungan hidup kanak-kanak boleh mencecah 80 peratus. Tapi jika terlalu percaya kepada petua karut dan bomoh, nyawa mereka yang jadi taruhan,” tegasnya.


Kesedaran dan pendidikan masyarakat amat penting dalam memastikan kanak-kanak mendapat rawatan sewajarnya. Masyarakat diingatkan agar tidak mengambil mudah dan mengelak daripada mempercayai petua-petua yang belum terbukti secara klinikal.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post