SEPANG, 8 Okt – Suasana penuh emosi dan haru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) malam Selasa bertukar cemas apabila pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, tiba-tiba rebah sebaik selesai sidang media menyambut kepulangan delegasi misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Ardell atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Amin, 35, dilihat pucat dan tidak bermaya ketika mengendong anak perempuannya menuju ke bas yang menunggu di luar balai ketibaan. Beliau tiba-tiba rebah di tengah lautan penyokong yang hadir memberi sokongan, mencetuskan suasana panik.
Beberapa polis bantuan dan petugas keselamatan segera memberikan bantuan kecemasan sebelum Ardell dibawa ke tempat duduk berhampiran untuk berehat. Ketika kejadian, suaminya yang juga pelakon, Nadzmi Adhwa, dilihat segera bergegas ke arah isterinya bagi memberikan bantuan.
“Nadzmi kelihatan panik, tapi cepat bertindak. Dia terus menenangkan Ardell dan menjaga anak mereka dibantu beberapa individu berhampiran,” kata salah seorang saksi.
Difahamkan, Ardell mengalami keletihan melampau selepas melalui perjalanan panjang dari Istanbul, Turkiye dan kurang mendapat rehat sepanjang misi kemanusiaan yang menuntut kekuatan fizikal dan emosi tinggi.
Sebelum insiden berlaku, Ardell sempat menyampaikan ucapan mewakili aktivis wanita dalam satu sidang media khas bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi menyambut kepulangan 23 sukarelawan Malaysia yang dibebaskan selepas ditahan oleh tentera Israel.
Kesemua 23 delegasi Malaysia yang terlibat dalam misi GSF telah ditahan oleh rejim Zionis sejak 2 Oktober ketika dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Mereka dibebaskan dan dihantar pulang ke tanah air pada 5 Oktober, dan selamat tiba di KLIA sekitar jam 10.13 malam, Selasa.
Antara individu terkenal yang turut serta dalam misi bersejarah ini ialah penyanyi Zizi Kirana, aktivis Datin Seri Heliza Helmi dan adiknya Hazwani Helmi, bersama hampir 500 sukarelawan antarabangsa dari pelbagai negara.
Kepulangan para sukarelawan disambut oleh ribuan rakyat Malaysia yang membanjiri balai ketibaan dengan laungan takbir dan “Free Palestine”, sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan membawa bantuan dan suara kemanusiaan ke bumi Gaza yang terus dizalimi.
Insiden yang menimpa Ardell Aryana menambah dimensi emosi kepada kepulangan bersejarah ini, memperlihatkan betapa berat dan mencabarnya perjuangan aktivis dalam misi kemanusiaan ke zon konflik.
Pihak MyCARE dan keluarga memaklumkan bahawa Ardell kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat. Orang ramai diminta mendoakan kesembuhan beliau dan seluruh sukarelawan yang telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Post a Comment