JOMBANG, INDONESIA, 30 Mei 2025 – Dua jururawat lelaki menerima kecaman hebat dan telah dipecat serta-merta selepas membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok ketika sedang bertugas di dewan bersalin di sebuah hospital tempatan.
Video tular menunjukkan jururawat terbabit, dikenali sebagai K dan R, secara terbuka menyiarkan proses menjahit luka pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan caesarean (czer), serta mendedahkan jantina bayi yang baru dilahirkan.
“Bayinya sudah keluar. Tinggal jahit saja. Anak lelaki,” ujar salah seorang daripada mereka dalam video, sambil membaca komen yang ditinggalkan penonton TikTok secara langsung.
Rakaman tersebut mencetuskan kemarahan netizen dan warga kesihatan yang mempersoalkan etika dan profesionalisme kedua-dua petugas kesihatan itu.
Menurut laporan media tempatan, jururawat itu cuba mempertahankan tindakan mereka dengan alasan wajah pesakit tidak didedahkan. Namun, tindakan menyiarkan prosedur perubatan tanpa kebenaran jelas merupakan pelanggaran serius terhadap privasi pesakit.
Pengarah Hospital PKU Muhammadiyah Mojoagung, Dr Dwi Rizki Wulandari, mengesahkan bahawa kedua-dua jururawat telah dipecat pada Rabu atas kesalahan melanggar kod etika pekerjaan dan profesionalisme perubatan.
“Kepercayaan pesakit adalah sesuatu yang amat berharga dan perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Kami menyeru semua petugas kesihatan supaya lebih bijak menggunakan media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian ini membuka kembali perdebatan mengenai batasan penggunaan media sosial dalam bidang kesihatan. Dalam era digital, petugas perubatan diingatkan untuk sentiasa menjaga kerahsiaan dan martabat pesakit, selari dengan prinsip kerahsiaan perubatan (patient confidentiality) yang termaktub dalam etika profesion kesihatan.
Post a Comment