Pegawai JPJ Temerloh Maut Dalam Kemalangan Motosikal dan Lori Terbalik

 

TEMERLOH, 23 Mei 2025 – Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temerloh maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang terbalik di Kilometer 37, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, petang tadi.


Mangsa, Siti Mariani Mohd Zain, 36, yang bertugas di Unit Pendakwaan JPJ Temerloh, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikalnya merempuh bahagian tengah lori yang terbalik di atas jalan.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.16 petang apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun terbalik selepas dipercayai cuba mengelak besi penghadang jalan.

“Mangsa dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah lori tersebut. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori mengalami kecederaan di kedua-dua kaki,” katanya dalam kenyataan.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat, manakala pemandu lori kini dirawat di hospital sama.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post