Pekebun Rugi Akibat Kecurian Harumanis

 

BUKIT JERNIH, PERLIS, 23 Mei 2025 – Seorang pekebun wanita mengalami kerugian selepas buah mempelam Harumanis di kebunnya dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.


Menerusi satu hantaran di TikTok, wanita dikenali sebagai Zaza Walker mendakwa kejadian itu menyebabkan kerugian antara 30 hingga 40 kilogram buah Harumanis, yang sedang mendapat permintaan tinggi sempena musim buah.

“Kecurian berlaku lagi di kebun kami. Selepas ini, kami bercadang untuk membuat laporan polis. Doakan pelaku mendapat hukuman setimpal,” katanya.


Zaza turut meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa memulangkan wang kepada pelanggan yang telah membuat tempahan kerana stok buah tidak mencukupi selepas insiden tersebut.


Berdasarkan semakan harga pasaran semasa, sekilogram Harumanis boleh mencecah antara RM30 hingga RM40, bergantung pada gred. Ini menjadikan kerugian yang dialami dianggarkan sekitar RM1,200 hingga RM1,600.


Lebih mengecewakan, pencuri turut mengambil buah yang belum matang, sekali gus menjejaskan hasil tuaian dan potensi jualan pekebun.


Menurut Zaza, dua barangan yang dipercayai milik suspek turut ditemui di lokasi kejadian:

  • Kasut but yang ditinggalkan berhampiran kawasan kebun
  • Sehelai baju, dipercayai ditanggalkan suspek ketika mencuri

“Kami tidak menyentuh bahan bukti itu kerana bimbang mengganggu siasatan dan berharap ia dapat membantu pihak berkuasa mengesan suspek,” katanya.


Zaza memuat naik kejadian tersebut pada Rabu lalu dan berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post