Polis Minta Bantuan Kes Kejadian Remaja Hilang di Kuantan

 


KUANTAN, 19 Mei 2025 Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan seorang remaja lelaki, Mas Rayyan Riqqin Abdullah, supaya tampil membantu siasatan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja berusia 14 tahun itu daripada ibunya yang berusia 33 tahun, malam tadi.


Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa yang bekerja sebagai pengasuh menyedari anak sulung daripada empat beradik itu tiada di rumah sekitar jam 8 pagi, kelmarin.

“Pemeriksaan dilakukan di bilik mangsa menemui sekeping nota yang ditinggalkan. Dalam nota tersebut, remaja berkenaan menyatakan bahawa dia perlu membuat pilihan, tidak mahu menyusahkan sesiapa, mahu mencari wang sendiri, berdikari dan turut memohon maaf kepada ibu bapanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambahnya lagi, ibu mangsa turut menghubungi rakan-rakan anaknya namun tiada seorang pun yang mengetahui keberadaan remaja itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Beserah.


Wan Mohd Zahari berkata, kali terakhir remaja berkenaan dilihat ibunya adalah sekitar jam 10.30 malam ketika sedang makan malam di rumah.


Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat remaja tersebut agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau menyalurkan maklumat melalui Talian Hotline Polis Diraja Malaysia (PDRM).


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post