Pengusaha Spa Disimbah Asid: Suami Dakwa Mungkin Perbuatan Terancang

 


BACHOK, 19 Mei 2025 – Suami kepada pengusaha spa yang menjadi mangsa simbahan cecair dipercayai asid tidak menolak kemungkinan insiden itu dilakukan oleh suspek yang diupah pihak tertentu.


Muhammad Ikhwan Syahrul Seri Buana, 33, berkata beliau membuat andaian itu berdasarkan keterangan isterinya, Nor Faziera Muda, 27, yang mendakwa suspek cuba menyasarkan simbahan ke muka, namun berjaya dielak dan hanya terkena bahagian belakang dan tangan.

“Isteri saya sempat elak bila suspek cuba simbah ke muka. Penduduk pula maklumkan ada tiga individu berpurdah dan seorang bertopeng yang melarikan diri — gaya mereka seperti lelaki,” katanya ketika ditemui di Beris Kubur Besar, di sini hari ini.


Menurutnya, insiden berlaku selepas mereka menunaikan solat Maghrib berjemaah sekitar jam 7.40 malam, sebelum isterinya keluar ke spa bersama anak perempuan berusia tujuh tahun untuk menerima seorang pelanggan.

“Pelanggan minta urut selama tiga jam — permintaan yang agak luar biasa. Tambahan pula, dia mahu isteri saya sendiri urut, walaupun kami ada pekerja lain. Itu buat kami rasa pelik,” jelasnya.


Muhammad Ikhwan berkata, tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan kecemasan daripada isterinya yang memaklumkan telah disimbah asid.


Mangsa kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) selepas menjalani pembedahan selama enam jam. Beliau dilaporkan mengalami kesan lecuran melebihi 50 peratus, membabitkan belakang badan, lengan dan tangan.

“Keadaan isteri kini stabil, namun anak perempuan kami yang berada di lokasi kejadian masih trauma dan tidak mahu bersendirian,” katanya lagi.

Muhammad Ikhwan turut menegaskan bahawa setakat ini, mereka tidak mengetahui motif serangan dan mendakwa isterinya tidak mempunyai musuh. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post