Orang Asli Gua Musang Hadapi Cabaran Tuntut Bantuan SARA Akibat Jarak dan Kos Tinggi

 


GUA MUSANG, 19 Mei 2025 – Masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang, Kelantan terpaksa menempuh perjalanan hampir 100 kilometer dan menanggung kos tinggi semata-mata untuk menuntut bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan kerajaan.


Ramai penduduk dari kawasan seperti Kampung Jader, Pos Simpor terpaksa menyewa pikap pada kadar antara RM600 hingga RM700 atau menunggang motosikal meredah laluan mencabar ke bandar terdekat untuk membuat tuntutan atau membeli barangan keperluan.


Menurut Merry Bah Kuasan, 42, walaupun pergerakan sukar, bantuan SARA tetap disifatkan amat penting dalam meringankan beban masyarakat yang rata-ratanya tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Kami tinggal jauh di pedalaman. Nak keluar ke bandar pun kena sewa kenderaan atau kongsi motosikal. Tapi bantuan SARA banyak bantu kami sekeluarga, terutama bila hasil tanaman tak menjadi,” katanya ketika ditemui di Pos Simpor.


Seorang lagi penduduk, Jina Seman, 44, berkata beliau dan suami akan keluar ke Bandar Gua Musang setiap bulan untuk menuntut bantuan tersebut, yang digunakan untuk membeli barangan asas seperti beras dan telur.

“Kami bergantung kepada hasil tanaman seperti sayur dan padi bukit. Sekarang dengan bantuan ini, hidup kami sedikit selesa walaupun musim hujan atau tanaman gagal,” katanya.


Tambahnya lagi, mereka berharap ada kaedah lebih mudah dan mesra kawasan pedalaman untuk menuntut bantuan itu tanpa perlu keluar jauh setiap kali.


Sebelum ini, media melaporkan bahawa pelaksanaan bantuan SARA telah diperluas melibatkan 5.4 juta penerima seluruh negara, dengan jumlah bantuan meningkat kepada RM2,100 setahun, berbanding RM1,200 tahun lalu – peningkatan sebanyak 75 peratus.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post