GAZA CITY, 19 Mei 2025 – Israel membenarkan kemasukan sejumlah bekalan makanan ke Semenanjung Gaza, susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar rejim Zionis menamatkan sekatan sepenuhnya yang dikenakan sejak lebih dua bulan lalu.
Pengumuman tersebut dibuat beberapa jam selepas tentera Israel memulakan operasi darat secara besar-besaran dalam kempen ketenteraan yang diperhebatkan di utara dan selatan Gaza.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, keputusan untuk membenarkan kemasukan bantuan asas itu dibuat atas syor pihak tentera demi mengelakkan krisis kebuluran yang boleh menjejaskan operasi ketenteraan.
“Krisis kemanusiaan boleh menjejaskan keberkesanan operasi tentera. Israel akan memastikan bantuan kemanusiaan yang dibenarkan tidak dirampas oleh Hamas,” jelas kenyataan tersebut.
Israel memulakan sekatan ketat ke atas makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan sejak 2 Mac lalu, dalam usaha memberi tekanan kepada Hamas untuk membebaskan tebusan. Namun, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah beberapa kali memberi amaran mengenai kekurangan kritikal bekalan asas di wilayah terbabit.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang juga sekutu utama Israel, mengakui wujud situasi kebuluran yang serius dan memberi jaminan bahawa AS akan mengambil tindakan segera untuk menanganinya.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, turut menggesa Israel supaya membuka laluan bantuan dengan segera dan tanpa sebarang halangan, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel mengumumkan pelancaran operasi darat meluas di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu lalu, bertepatan dengan rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas di Doha, Qatar.
Menurut Pejabat Netanyahu, rundingan di Doha kini memfokuskan pembebasan semua tebusan, pengusiran anggota Hamas, serta perlaksanaan pelucutan senjata sepenuhnya di Gaza – satu kerangka yang digerakkan oleh Utusan Khas AS bagi Asia Barat, Steve Witkoff.
Bagaimanapun, usaha rundingan sejak tamatnya gencatan senjata dua bulan lalu masih menemui jalan buntu, biarpun dimediasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.
Netanyahu bertegas tidak akan menamatkan perang tanpa memastikan Hamas dikalahkan sepenuhnya, manakala Hamas tetap enggan melucutkan senjata atau berundur dari Gaza, menjadikan penyelesaian damai masih jauh dari jangkauan.
Post a Comment