Serangan Udara Israel Ragut 130 Nyawa Palestin, Rundingan Gencatan Senjata Masih Buntu

 



BAITULMAQDIS, 19 Mei 2025 – Sekurang-kurangnya 130 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh semalaman susulan serangan udara terbaru Israel di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Insiden ini berlaku ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berlangsung di Doha dilaporkan masih menemui jalan buntu.


Serangan udara tersebut dikatakan sebagai persediaan serangan darat baharu oleh Israel untuk mendapatkan “kawalan operasi” di beberapa kawasan di Gaza.


Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, rundingan tidak langsung tersebut merangkumi isu pertukaran tebusan dan penamatan konflik dengan syarat Hamas disingkirkan dari Gaza serta wilayah itu dinyahpersenjataan – syarat yang ditolak tegas oleh Hamas.

“Pendirian Israel tidak berubah – mereka mahu tebusan dibebaskan tanpa sebarang komitmen untuk menamatkan perang,” ujar seorang pegawai Hamas kepada Reuters.


Sebaliknya, Hamas hanya akan bersetuju membebaskan tebusan jika Israel menamatkan perang, berundur dari Gaza, menghentikan sekatan bantuan, dan membebaskan tahanan Palestin.


Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, 464 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh seminggu sehingga semalam akibat operasi ketenteraan yang semakin diperhebat oleh Israel. Angka 130 yang maut semalaman adalah tambahan kepada jumlah tersebut.

“Beberapa keluarga dipadam terus daripada rekod pendaftaran sivil akibat pengeboman Israel semalaman,” kata jurucakap kementerian, Khalil Al-Deqran.


Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai jumlah korban. Dalam perkembangan berkaitan, media Israel dan Arab melaporkan kemungkinan pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar, terbunuh, meskipun tiada pengesahan rasmi dari Hamas mahupun Kementerian Pertahanan Israel.


Sumber perubatan di Gaza pula menyatakan bahawa Zakaria Al-Sinwar, abang kepada Mohammed, masih hidup tetapi berada dalam keadaan kritikal walaupun sebelum itu dilaporkan telah meninggal dunia bersama tiga anaknya.


Hospital dan kemudahan perubatan Gaza kini berada di ambang lumpuh akibat serangan berterusan dan sekatan bekalan. Hospital Indonesia, antara yang masih berfungsi di utara Gaza, dilaporkan terpaksa menghentikan operasi akibat tembakan dari arah tentera Israel.

“Hospital kini sesak dengan mangsa, kebanyakannya kanak-kanak,” tambah Deqran.


Kelaparan yang semakin memuncak turut memburukkan keadaan, dengan 75 peratus ambulans tidak lagi beroperasi akibat kehabisan bahan api, menurut Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin.


Hospital Shifa, hospital terbesar di Gaza, menggesa orang ramai menderma darah berikutan serangan yang menyebabkan puluhan korban dan kecederaan.


Israel menegaskan matlamat utamanya adalah untuk menghapuskan keupayaan ketenteraan dan pentadbiran Hamas, susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang meragut 1,200 nyawa rakyat Israel dan menculik sekitar 250 orang.


Namun, kempen ketenteraan Israel sejak itu telah memusnahkan hampir seluruh Semenanjung Gaza, menyebabkan hampir semua penduduk kehilangan tempat tinggal dan lebih 53,000 rakyat Palestin terbunuh, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post