KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Jenazah Allahyarham Zolkefli Abdul Rahman, bekas suami kepada pelakon terkenal Liza Abdullah, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.45 malam, Khamis lalu akibat pelbagai komplikasi penyakit, termasuk kencing manis, masalah buah pinggang, dan tiroid.
Menurut Liza, arwah bekas suaminya itu kerap keluar masuk hospital dan keadaannya semakin lemah sejak kebelakangan ini.
“Arwah menghidap pelbagai komplikasi penyakit. Kakinya sudah dipotong akibat kencing manis, manakala buah pinggangnya juga bermasalah. Empat hari lalu doktor mengesyaki arwah menghidap tiroid,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Liza turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh sakit, anak-anak mereka bergilir-gilir menjaga arwah.
Pelakon drama Kampung People itu turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah, dan menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan artis serta sahabat handai yang turut hadir menziarahi.
“Alhamdulillah, rakan-rakan arwah dan beberapa rakan artis hadir menziarah. Tiga anak lelaki kami juga turut menguruskan jenazah arwah hingga ke liang lahad,” tambahnya.
Berita pemergian Allahyarham Zolkefli turut dikongsi oleh anak perempuan mereka, Nurnaffiz Syahiddah, menerusi hantaran di Instagram Story.
“Salam, abah saya, Zolkefli Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.45 malam tadi. Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul jam 7.30 pagi,” tulisnya.
Liza Abdullah dan Zolkefli Abdul Rahman mendirikan rumah tangga selama 26 tahun sebelum bercerai pada tahun 2014. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Zulhaffiz Zarriq (36), Nurnaffiz Syahiddah (32), Zulsyahmi Naqib (23) dan Zulsyahmi Afif (21).
Post a Comment