Penyalahgunaan Dadah Ancaman Kritikal, Hampir 200,000 Penagih Dikenal Pasti


 

PUTRAJAYA, 19 Mei 2025 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyuarakan kebimbangan terhadap tahap penyalahgunaan dadah di negara ini yang kini berada pada situasi amat membimbangkan dan dianggap sebagai ancaman besar kepada keselamatan awam, kestabilan ekonomi dan struktur sosial negara.


Menurut beliau, data terkini menunjukkan sebanyak 192,857 individu dikenal pasti terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah, dengan 61 peratus daripadanya berusia antara 15 hingga 39 tahun. Daripada jumlah itu, 96 peratus adalah lelaki, yang majoritinya terpengaruh oleh rakan sebaya dan keinginan mencuba.

“Ini menunjukkan golongan muda merupakan kumpulan paling terdedah dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di sini hari ini.


Ahmad Zahid turut mendedahkan empat negeri dengan kadar penagihan dadah tertinggi per 100,000 penduduk iaitu:

  • Kelantan – 1,130
  • Terengganu – 974
  • Perlis – 965
  • Kedah – 898


Bagi menangani cabaran penyalahgunaan dadah yang semakin kompleks, kerajaan meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027 yang bersifat menyeluruh dan bersasar. Pelan ini memberi tumpuan kepada:

  • Perubahan sikap
  • Peningkatan kesedaran masyarakat
  • Penyampaian maklumat tepat
  • Sinergi antara agensi kerajaan dan komuniti


Dalam aspek rawatan dan pemulihan, Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini menggunakan pendekatan Single Point Entry, yang membolehkan individu yang ditahan menjalani intervensi awal tanpa perlu menunggu keputusan patologi.

“Sehingga 5 April lalu, seramai 261 Orang Kena Tuduh (OKT) telah menjalani penilaian di DAC Kuala Muda, Kedah,” jelasnya.


Ahmad Zahid turut memaklumkan penemuan terbaru oleh Pusat Racun Negara mengenai rokok elektronik atau vape berperisa ‘mushroom’ yang mengandungi bahan psikoaktif seperti psilosibin dan psilosin, yang berpotensi menyebabkan halusinasi dan gangguan mental, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.


Dalam usaha memperkemas strategi membanteras dadah, Kementerian Dalam Negeri akan memanfaatkan Crime Data Network Analysis untuk mengenal pasti pola jenayah berkaitan dadah secara terperinci.

“Ini akan membantu merangka strategi pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berfokus dan berkesan,” tambah beliau.


Mengakhiri kenyataannya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam melaksanakan Dasar Dadah Negara (DDN) yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan, pemulihan serta penguatkuasaan secara menyeluruh.

“Perjuangan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat. Demi generasi masa depan yang bebas daripada dadah, kita tidak akan berganjak walau seinci pun,” tegasnya.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post