Lelaki Cedera Ditikam Anak Saudara Dalam Pergaduhan Keluarga di Semerah


 

BATU PAHAT, 19 Mei 2025 – Seorang lelaki berusia 52 tahun cedera parah selepas ditikam lima kali oleh anak saudaranya dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Semerah, dekat sini semalam.


Menurut siasatan awal, kejadian bermula daripada pertengkaran mulut apabila mangsa datang ke rumah anak saudaranya yang berusia 35 tahun dan menuduh suspek menyebarkan keburukannya kepada orang lain.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata ketika kejadian kira-kira jam 2 petang, suspek bersama adik lelakinya berusia 26 tahun sedang berada di dapur dan memotong bawang untuk memasak.

“Mangsa didakwa mengambil lesung dan cuba menyerang suspek. Dalam usaha mempertahankan diri, suspek mencapai pisau pemotong sayur dan menikam mangsa di bahu serta pergelangan tangan kiri,” katanya.


Mangsa yang berlumuran darah segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut. Difahamkan, keadaannya kini stabil. Adik suspek turut berada di lokasi dan cuba meleraikan pergaduhan tersebut.


Suspek, yang bekerja sebagai pemotong rumput, ditahan polis dan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi. Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik keluarga, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” tambah pihak polis.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post