BATU PAHAT, 19 Mei 2025 – Seorang pengurus restoran makanan segera dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah mencabul seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ketika sesi temu duga kerja, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd Sallehudin Roslie, 32, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa di restoran berkenaan pada 16 Mei antara jam 8.30 hingga 9.30 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa hadir ke restoran tersebut untuk sesi temu duga sebelum dipelawa masuk oleh tertuduh. Selepas sesi berakhir, tertuduh mengambil kesempatan dengan menyentuh tangan dan memeluk mangsa, serta memberi amaran supaya mangsa tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu. Bagaimanapun, tindakan tertuduh berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis tersebut.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan di mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharif dan Firdaus Rusla, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Post a Comment