KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendedahkan bahawa bersukan dan membaca adalah antara cara utama beliau mengatasi tekanan kehidupan dan tugas sebagai ahli politik.
Perkongsian tersebut dibuat ketika sesi siaran langsung di platform TikTok, bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah. Ketika ditanya mengenai cara beliau menangani tekanan, Saddiq pada mulanya bergurau dengan menjawab, “Duduk tepi Bella,” namun kemudiannya menjelaskan pendekatan sebenar beliau.
Menurut Saddiq, beliau gemar melakukan aktiviti fizikal seperti berenang, berbasikal dan berlari, khususnya pada waktu pagi sejurus selepas solat Subuh.
“Waktu itu, ramai yang belum mula aktiviti harian. Ia masa terbaik untuk saya berfikir dan kadangkala idea terbaik saya datang pada waktu itu,” katanya.
Selain bersukan, beliau turut memanfaatkan waktu lapang dengan membaca buku, serta berkongsi cerita dan masa bersama orang terdekat sebagai kaedah meredakan tekanan.
“Apabila kita bersama dengan orang yang kita selesa untuk berkongsi cerita, tekanan itu akan berkurang,” katanya lagi.
Interaksi mesra antara Saddiq dan Bella dalam siaran langsung itu turut mencuri perhatian netizen, terutamanya selepas kedua-duanya dilihat kerap muncul bersama dalam pelbagai aktiviti seperti kempen promosi pakaian hari raya, pendakian Gunung Kinabalu, serta program bantuan kemasyarakatan.
Malah, ramai netizen menyatakan mereka serasi dan menyokong hubungan rapat antara keduanya, dengan segelintir menyatakan wajah mereka seiras dan sepadan.
Untuk rekod, Syed Saddiq masih bujang, manakala Bella adalah seorang ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5, selepas sah bercerai pada 13 Jun tahun lalu.
Post a Comment