Pemandu Lori Terlibat Kemalangan Maut FRU Ditahan Semula Kes Curi Lembu





TELUK INTAN, 19 Mei 2025 – Seorang pemandu lori yang sebelum ini didakwa atas kes kemalangan maut melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu, ditahan semula hari ini – kali ini berhubung kes curi lembu.


Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk kira-kira 20 minit selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah berkaitan kes kemalangan itu. Penahanan dilakukan di kaunter pembayaran jamin Mahkamah Teluk Intan pada jam 12.20 tengah hari.


Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali, berkata suspek kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan susulan laporan kecurian dua ekor lembu pada 14 April lalu di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang, Bagan Datuk.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes curi lembu,” katanya dalam kenyataan.


Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU dalam satu kemalangan ngeri.


Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, serta mengenakan syarat tambahan iaitu penggantungan lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai dan keperluan melapor diri ke balai polis setiap minggu

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post