TEMERLOH: Datuk Seri Rafizi Ramli bersedia berdebat dengan pencabarnya dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu 23 Mei ini.
Jelas Rafizi, keputusan itu diambil bagi meredakan suhu yang panas dalam kalangan penyokong kedua-dua tokoh muda parti tersebut ketika ini.
"Saya dah berdebat dengan KJ (Khairy Jamaluddin), saya juga dah berdebat dengan Ahli Parlimen Bachok (Mohd Syahir Che Sulaiman) 'ruh, ruh, ruh, neh, neh, neh' jadi kalau yang 'payah-payah' pun saya dah lalui, insya-Allah saya tiada masalah untuk berdebat dengan Nurul Izzah," katanya selepas program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Dewan Seri Mentakab, dekat sini, malam tadi.
Katanya, berdasarkan pemilihan parti sebelum ini, ia menjadi amalan kepada calon bertanding bagi jawatan berkenaan termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2022.
Katanya, PKR adalah parti yang memperkenalkan budaya politik baru seperti itu.
Rafizi yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR turut menekankan pentingnya debat yang dikendalikan oleh pihak berkecuali terutama media untuk memastikan perbincangan yang intelektual dan bukan berfokus kepada serangan peribadi.
"Saya serahkan kepada pihak penganjur yang ditentukan terutama pihak media untuk mengaturkan debat tersebut.
"Sebenarnya, penyokong di peringkat akar umbi sering kali lebih `panas' dalam perbincangan dan debat ini diharapkan dapat membawa kempen yang lebih berisi dan matang.
"Terdapat cadangan dari akar umbi untuk mengadakan debat dengan Nurul Izzah dan saya menerimanya," katanya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata beliau tidak mahu mencari penganjur untuk berdebat secara peribadi bagi mengelak sebarang persepsi berat sebelah.
"Sebaliknya, saya menyerahkan kepada pihak penganjur yang tentukan untuk mengaturkan debat tersebut. Saya bersedia untuk berdebat dan kalau boleh diadakan secara langsung supaya semua boleh membuat penilaian," katanya.
Mengenai peranannya sebagai Menteri Ekonomi jika tidak terpilih, Rafizi yang menyatakan akan berundur sebelum ini, melahirkan keyakinan dasar ekonomi negara termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak akan terjejas.
"Perancangan dasar ekonomi negara termasuk RMK13, hampir siap dan akan dibentangkan di Kabinet untuk kelulusan minggu hadapan.
"Selain itu, RMK13 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai dan sekiranya lulus, pelaksanaan dasar-dasar tersebut tidak akan terjejas walaupun berlaku pertukaran Menteri kerana dasar yang dirancang adalah untuk kerajaan dan bukan untuk kementerian tertentu sahaja," katanya.
Post a Comment