Dalam satu hantaran di media sosial, pemuda itu menceritakan bahawa kesempitan hidup memaksanya untuk memandang semula erti “makanan”.
“Saya tunggu orang buang makanan tak habis dekat tong sampah di sekitar kampus. Kalau makanan itu tidak terkena sampah lain, saya basuh dan makan,” katanya jujur.
Menurutnya, walaupun mi segera sering menjadi makanan 'wajib' bagi pelajar kurang berkemampuan, situasinya ketika itu jauh lebih terdesak sehingga tidak mampu membeli apa-apa makanan langsung.
“Bila saya tak ada duit, kawan saya ajar satu prinsip: semua yang boleh dimakan adalah makanan. Sejak itu, saya dan rakan sebilik tunggu saja makanan yang dibuang. Kadang-kadang banyak makanan, kami buat jamuan dan ajak bilik sebelah makan sekali. Esoknya baru kami beritahu makanan tu dari tong sampah,” katanya lagi.
Kisah ini menjadi tular dan mendapat perhatian ramai, termasuk mereka yang pernah melalui situasi yang sama semasa bergelar mahasiswa. Ada yang berkongsi pengalaman memakan roti atau makanan lebihan yang dibuang, sambil menyuarakan rasa simpati dan kekaguman terhadap semangat tidak mudah mengalah dalam kalangan pelajar seperti itu.
“Sedih, tapi bila ingat balik memang lawak. Tapi itulah realiti kami dulu. Sekarang bila dah kerja, saya hargai rezeki lebih dari segala-galanya,” tulis seorang pengguna.
Ramai netizen mendoakan agar beliau dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan, selain menggesa agar isu kebajikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah diberi perhatian serius.
Kes seperti ini mencerminkan keperluan mendesak untuk menyediakan sistem sokongan lebih menyeluruh kepada pelajar yang terpinggir daripada akses bantuan kewangan, makanan atau sokongan mental.
Pihak universiti, badan zakat, NGO, serta kementerian berkaitan digesa mempergiatkan usaha bantuan bersasar, termasuk penyediaan bank makanan, tabung kecemasan pelajar, serta sokongan psikososial.
Ketabahan mahasiswa ini bukan sekadar kisah peribadi, ia cerminan realiti yang mungkin sedang berlaku secara senyap dalam komuniti pelajar negara ini.
Post a Comment