PUTRAJAYA, 25 Jun 2025 – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara selama tujuh tahun serta dua sebatan atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Keputusan bersejarah itu diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah, dan Datuk Noorin Badaruddin, yang sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Datuk Noorin selama lebih sejam, mahkamah menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam semua pertuduhan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
“Kami mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (menyalahgunakan harta),” katanya.
Mahkamah turut menegaskan bahawa pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan tidak dapat dikekalkan.
“Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” tambah beliau.
Syed Saddiq yang hadir ke mahkamah mengenakan sut hitam kelihatan sebak sejurus selepas keputusan dibacakan. Beliau segera mencium tangan dan memeluk ibunya yang turut hadir sebagai tanda syukur atas keputusan tersebut.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan iaitu:
- Bersubahat melakukan pecah amanah melibatkan RM1 juta – dihukum penjara 3 tahun dan satu sebatan.
- Menyalahgunakan harta untuk kegunaan sendiri – dihukum penjara 2 tahun dan satu sebatan.
- Dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana ARMADA – dihukum penjara 2 tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.
Kesemua hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak.
Syed Saddiq diwakili oleh pasukan guaman yang diketuai oleh Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, bersama Datuk Hisyam Teh Poh Teik, S Devanandan, Alex Tan Chie Sian, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Khairuzzaman Ridha, dan Hing Heng Shen.
Pihak pendakwaan pula diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, bersama pasukannya Farah Ezlin Yusop Khan, Nurul Qistini Qamarul Abrar, Muhammad Ashraf Mohamed Tahir, dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.
Keputusan Mahkamah Rayuan ini sekali gus menamatkan pergelutan perundangan selama hampir dua tahun yang dihadapi oleh Syed Saddiq, yang sebelum ini menjadi antara tokoh muda paling menonjol dalam arena politik negara.
Berikutan keputusan itu, Syed Saddiq kini bebas daripada semua pertuduhan dan boleh meneruskan kerjaya politiknya tanpa sebarang rekod sabitan.
Post a Comment