‘Janda Berhias’ Kongsi Kisah Pahit


“Tiada wanita yang mahu menjadi janda, apatah lagi selepas hanya enam bulan berkahwin.” Begitulah luahan pilu seorang wanita yang berkongsi kisah perkahwinannya berakhir dengan penceraian dalam tempoh yang amat singkat tanpa pernah merasai haknya sebagai seorang isteri.


Dalam satu hantaran yang tular di media sosial, wanita berkenaan yang tidak mendedahkan identitinya menyatakan bahawa beliau kini memegang gelaran ‘janda berhias’, bukan atas kehendak sendiri, tetapi kerana diceraikan tanpa alasan kukuh.

“Seumur hidup, tak pernah saya terfikir akan melalui penceraian hanya selepas enam bulan. Sepanjang perkahwinan itu, saya tidak pernah disentuh sebagai isteri. Diceraikan atas alasan tiada cinta dan sayang,” luahnya.


Wanita tersebut menjelaskan bahawa perkenalan dengan bekas suaminya berlaku melalui orang tengah, dan sepanjang tempoh pertunangan hingga ke perkahwinan, mereka menjaga batas pergaulan dengan hanya bertemu ditemani pihak ketiga.

“Saya sangka memilih lelaki yang belajar dan mengajar agama menjamin bahagia dunia akhirat. Tapi takdir berkata sebaliknya,” katanya.


Lebih mengecewakan, menurut wanita itu, bekas suaminya enggan melaksanakan nafkah batin, malah menunjukkan sikap tidak suka kepada wanita sejak awal perkahwinan.

“Setiap kali saya cuba menunjukkan kasih sayang sebagai isteri, dia akan mengelak, berpura-pura seolah-olah tiada apa berlaku,” tambahnya.


Wanita itu turut meluahkan rasa kecewa apabila bekas suami berbohong kepada hakim semasa prosiding penceraian, mendakwa mereka telah bersama sebagai suami isteri, sesuatu yang menurutnya tidak pernah berlaku.

“Mengapa perlu berbohong dalam perkara yang begitu jelas? Sampai hari ini saya tertanya-tanya,” katanya lagi.


Walaupun sedar ada pihak yang mungkin menimbulkan spekulasi tentang kecenderungan seksual bekas suaminya, wanita itu menegaskan bahawa dia tidak mahu menuduh tanpa bukti dan menyerahkan segalanya kepada Allah.


Menutup perkongsiannya, wanita itu menegaskan bahawa tujuannya bukan untuk membuka aib sesiapa, sebaliknya sebagai peringatan dan kesedaran kepada wanita lain yang mungkin sedang melalui kisah yang sama dalam diam.

“Saya kongsi ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa. Tapi mungkin ada wanita di luar sana yang sedang melalui situasi yang serupa, dan mereka perlu tahu bahawa mereka tidak bersendirian.”


Kisah ini mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya bersimpati, dan pada masa sama mengangkat keberanian wanita itu berkongsi kisah perit sebagai satu bentuk kekuatan dan inspirasi buat wanita lain.

 

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post