Tragedi Bot Terbalik di Pulau Perhentian

 

BUTTERWORTH, 2 Julai – “Kami berkali-kali minta jaket keselamatan, tapi pemandu bot kata basah... tak mengapa, sebab dekat sahaja,” luah A Sanggetha, 39, yang kehilangan suami dan anak bongsunya dalam tragedi bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut, kelmarin.


Dalam kejadian menyayat hati itu, suaminya S Arumugam, 40, dan anak perempuan bongsu mereka, A Sarrvihka, 3, maut selepas bot dinaiki mereka bersama 15 ahli rombongan lain terbalik ketika dalam perjalanan pulang ke Pulau Perhentian Besar sekitar jam 9 malam.


Menurut Sanggetha, mereka sekeluarga serta beberapa rakan suami telah bercuti ke pulau berkenaan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-40. Seusai makan malam di Pulau Perhentian Kecil, mereka memutuskan untuk kembali ke resort berikutan cuaca yang kelihatan semakin buruk.


“Sebelum naik bot, kami minta jaket keselamatan sebab nampak cuaca tak elok dan ramai budak kecil, tapi pemandu bot cakap jaket tu basah, dan kata tak apa sebab perjalanan cuma 10 hingga 15 minit,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bayu Aman, di sini.


Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, hujan lebat dan ombak besar menyebabkan bot bergoyang kuat sebelum terbalik secara tiba-tiba.


“Saya pegang anak sulung kami sekuat mungkin, manakala suami peluk anak bongsu. Tapi satu ombak besar datang dan terus terbalikkan bot,” katanya sebak.


Sanggetha yang tidak tahu berenang, cuba sekuat hati untuk mengapungkan diri dan menarik anak sulungnya, 9 tahun, keluar dari bot. Mereka kemudian diselamatkan oleh seorang lelaki yang kebetulan berada berhampiran kawasan kejadian.


“Waktu tu kami dah hampir sampai ke kawasan parkir bot, boleh nampak lampu resort… tapi laut sangat bergelora. Saya sudah terpisah dengan suami dan anak bongsu,” tambahnya.


Selepas diselamatkan, Sanggetha dan anaknya dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Dia kemudian menerima berita paling memilukan apabila dimaklumkan bahawa suami dan anak bongsunya telah meninggal dunia, begitu juga seorang lagi kanak-kanak, anak kepada rakan suaminya.


“Semua berlaku sekelip mata. Saya harap kejadian sebegini tidak berlaku lagi kepada orang lain. Saya cuma mahu kuat demi anak sulung saya yang tinggal,” katanya dalam keadaan emosi masih belum stabil.


Sanggetha turut berharap pihak berkuasa memperketatkan aspek keselamatan bot pelancong, termasuk mewajibkan pemakaian jaket keselamatan tanpa kompromi, demi mengelakkan tragedi berulang.


Kejadian itu masih dalam siasatan pihak berkuasa maritim dan polis, termasuk aspek kelalaian pengendali bot. Orang ramai disarankan agar memastikan aspek keselamatan diberi perhatian serius ketika menaiki bot atau pengangkutan air, terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post