Sebuah luahan jujur seorang wanita mengenai realiti pahit hidup bermadu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, selepas dia berkongsi kisah perkahwinan keduanya yang penuh kecewa dan penyesalan.
Menerusi hantaran di platform X (dahulunya Twitter), wanita berkenaan yang enggan mendedahkan identiti, menyatakan dirinya berasa terpedaya dengan janji manis suami, yang berjanji untuk mendaftarkan perkahwinan dan memaklumkan perkara tersebut kepada isteri pertamanya.
Namun, sebaliknya berlaku apabila segala keistimewaan hanya dinikmati oleh isteri pertama, manakala dia terpaksa menanggung sendiri segala perbelanjaan harian kerana suaminya hanya berkemampuan "biasa-biasa".
“Isteri pertama goyang kaki, tak kerja. Isteri lain kena tanggung diri sendiri. Suami habis duit untuk isteri pertama dan anak-anak. Nak jumpa pun kena sembunyi-sembunyi,” tulisnya.
Tambahnya lagi, dia sering berasa dipinggirkan dan hanya diberi perhatian apabila suaminya mempunyai keinginan fizikal. Malah, percutian bersama pun jarang berlaku, itupun perlu berselindung dengan alasan 'outstation'.
“Memang dia bertanggungjawab… tapi hanya pada isteri pertama dan anak-anak dia saja. Aku ni pandai-pandailah nak hidup,” luahnya dengan nada kecewa.
Namun begitu, reaksi netizen tidak berpihak kepadanya. Rata-rata mengecam tindakan wanita tersebut yang sanggup berkahwin dengan suami orang dan menyifatkannya sebagai “perampas kebahagiaan orang lain”.
Antara komen netizen yang dilihat lantang menyuarakan pandangan:
“Dah ambil suami orang, ada hati nak mengadu. Kena tanggunglah akibatnya.”“Dah tahu lelaki tu ada anak bini, kenapa tergoda juga?”“Bezanya kamu dengan perempuan simpanan cuma ada sijil nikah. Tapi tanggung semua sendiri.”
Ada juga netizen yang menyatakan bahawa perkahwinan kedua sepatutnya dibina atas dasar keadilan dan kemampuan, bukannya sekadar keinginan berpoligami tanpa persiapan kewangan dan emosi.
Walaupun luahan tersebut mencerminkan kesedihan seorang wanita yang merasa terpinggir, ramai berpendapat bahawa pilihan menjadi isteri kedua kepada lelaki yang tidak bersedia dari segi tanggungjawab telah membawa padah.
Perkongsian itu kini tular dan terus mengundang pelbagai reaksi, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai isu poligami tanpa tanggungjawab sebenar serta hak dan peranan setiap isteri dalam perkahwinan yang sah.
Post a Comment