597 PATI Ditahan di Bandar Sunway, Seorang Gagal Nyanyi Lagu Negaraku

 

PETALING JAYA, 25 Mei 2025– Cubaan seorang pendatang tanpa izin (PATI) menyamar sebagai rakyat Malaysia gagal apabila dia tidak dapat menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku semasa operasi penguatkuasaan dijalankan di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway malam semalam.


Suspek lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu merupakan antara 597 PATI yang ditahan dalam serbuan mega oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang memeriksa 1,597 warga asing bermula jam 9 malam.


Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, operasi disertai 139 anggota Imigresen, dibantu 200 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), 40 anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), serta agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam.


Antara negara asal PATI yang ditahan:

  • Myanmar – 226
  • Indonesia – 201
  • Bangladesh – 71
  • Pakistan – 46
  • Nepal – 44
  • India – 8
  • Thailand – 1


Kesalahan yang dikenal pasti termasuk:

  • Tiada dokumen pengenalan
  • Tinggal lebih masa
  • Salah guna pas kerja dan pelajar
  • Menggunakan kad pengenalan palsu
  • Gagal mengemukakan kad pelajar sah


Antara taktik yang digunakan PATI ialah bersembunyi di bumbung, enggan membuka pintu rumah, dan menunjukkan pas pelajar tamat tempoh.


Menurut wakil MBPJ, Mohamad Zahri, pemeriksaan turut mendedahkan unit kediaman diubah menjadi asrama, restoran dan salun tanpa lesen sah. Ada unit dipasang partition kecil, disewakan hingga 10 penghuni, dengan kadar sewa antara RM280 sebulan untuk satu ruang, manakala keseluruhan unit disewa sehingga RM1,300 sebulan.


Sebanyak 22 aduan diterima tahun lalu dan 11 aduan direkodkan tahun ini berhubung gangguan dan ketidakpatuhan di kawasan tersebut.


Kes disiasat di bawah:

  • Akta Imigresen 1959/63
  • Akta Pasport 1966
  • Peraturan-Peraturan Imigresen 1963
  • Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007


Semua tahanan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post