SHAH ALAM, 25 Mei 2025– Seorang bekas setiausaha jabatan kerajaan dan seorang pengarah agensi umrah masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah keseluruhan RM328,399.19.
Datuk Azlan Johar, 54, didakwa menyalahgunakan peruntukan Program Pemantapan Felda Madani 2024 sebanyak RM200,000 dengan menyerahkan wang itu kepada abang kandungnya untuk kegunaan peribadi. Kejadian didakwa berlaku di dalam sebuah Proton X70 di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, pada 7 September 2024.
Sementara itu, Mohamad Anas Mohamad Naem, 33, yang juga seorang mutawif dan pengarah urusan agensi umrah, dituduh menggunakan wang milik syarikat pelancongan berjumlah RM128,399.19 antara 16 November 2023 hingga 6 September 2024, di sebuah bank cawangan Denai Alam.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat, dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan ikat jamin RM20,000 hingga RM30,000 serta syarat tambahan agar kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, dan menetapkan sebutan semula kes bagi Mohamad Anas pada 25 Jun, manakala kes Azlan pada 23 Julai.
Post a Comment