BATU PAHAT, 25 Mei 2025 – Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bindu, Tongkang Pechah, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mazalan Balia, 69, dan isterinya Radin Pauziyah Radin Ahmad, 75.
“Mazalan meninggal dunia jam 12 tengah hari akibat kecederaan parah pada organ dalaman, manakala isterinya disahkan meninggal dunia jam 1.45 tengah hari akibat kecederaan di kepala, rusuk dan kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun sedang berhenti di lampu isyarat sebelum kenderaan mangsa merempuh bahagian belakang kenderaan berat itu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan akibat pemanduan cuai atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Post a Comment