Polis Tahan Tiga Suspek Termasuk Lelaki Mempunyai 23 Rekod Jenayah di Kajang

 


KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Seorang lelaki yang mempunyai 23 rekod jenayah dan dadah antara tiga individu ditahan oleh polis selepas aksi kejar-mengejar yang berlaku di sekitar Taman Kajang Mewah, dekat Kajang awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 2.10 pagi melibatkan seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 28 hingga 30 tahun.

“Suspek lelaki dikenal pasti mempunyai 23 rekod lampau membabitkan pelbagai kes jenayah dan dadah,” jelas beliau.


Kejadian itu mencuri perhatian awam apabila video rakaman aksi kejar-mengejar dan penahanan oleh pasukan Unit Peronda (MPV) tersebar luas di media sosial, memperlihatkan ketangkasan pihak berkuasa dalam menangani suspek.


Hasil pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis syabu seberat satu gram bersama suspek. Ketiga-tiga mereka telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang iaitu:

  • Seksyen 186 Kanun Keseksaan – menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya.
  • Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 – berkaitan pemilikan dadah.
  • Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berkaitan pemanduan secara melulu dan membahayakan.


Naazron turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422 atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Polis akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah,” tegas beliau.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post