Aaron-Wooi Yik Juara Terbuka Thailand 2025, Tamatkan Kemarau 16 Tahun

 


KUALA LUMPUR, 16 Mei – Gandingan utama beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sekali lagi membuktikan taring mereka di pentas antarabangsa apabila menjuarai Terbuka Thailand 2025, menamatkan kemarau 16 tahun Malaysia dalam kategori tersebut.


Kejayaan mereka kali ini turut mengukuhkan impak kehadiran Herry Iman Pierngadi sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara sejak Februari lalu. Dikenali sebagai ‘Naga Api’, sentuhan Herry menyaksikan peningkatan konsisten buat pasangan nombor lima dunia itu yang sebelum ini turut menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.


Dalam aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok, Aaron-Wooi Yik bangkit cemerlang selepas tewas set pertama untuk menewaskan beregu muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, dengan keputusan 20-22, 21-17, 21-12 dalam tempoh sejam.


Sebagai juara, pasangan itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$37,525 (RM161,191). Ini merupakan gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF selepas kejayaan di Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.


Kemenangan ini juga menamatkan penantian panjang sejak kali terakhir gelaran beregu lelaki dimenangi negara pada edisi 2009 oleh Chan Peng Soon-Lim Khim Wah.


Menurut Aaron, kemenangan kali ini amat bermakna dalam usaha memperkukuh kedudukan ranking dan meningkatkan keyakinan pasukan di bawah bimbingan jurulatih baharu.

“Kami memang gembira dengan kemenangan ini. Selepas permulaan perlahan, kami mula menunjukkan peningkatan prestasi dan akhirnya berjaya muncul juara. Tapi kami juga sedar, hari ini kami juara, esok belum tentu. Kami perlu bermula semula di Masters Malaysia minggu hadapan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).


Sementara itu, Wooi Yik menyifatkan pasangan lawan sebagai beregu muda yang berbakat besar dan menunjukkan corak permainan yang dinamik.

“Kami benar-benar menghormati mereka. Mereka bermain sangat baik. Tapi kami juga mahu buktikan kepada jurulatih kami bahawa kami mampu bersaing di tahap tertinggi– dan hari ini kami berjaya lakukannya.”


Aaron turut menekankan bahawa semangat berpasukan dan kepercayaan sesama gandingan menjadi faktor utama kemenangan mereka di set penentuan.

“Kami saling percaya dan saling menyokong, terutamanya ketika melalui saat sukar. Itulah kekuatan kami hari ini,” tambahnya.


Dalam perkembangan sama, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah turut mencipta sejarah apabila menjadi beregu wanita pertama Malaysia memenangi Terbuka Thailand sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1984, menandakan pencapaian bersejarah berganda buat kontinjen negara di Bangkok.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post