Pasangan Kekasih Dicekup Khalwat, Menyamar Suami Isteri di Padang Serai



KULIM, 19 Mei – Tindakan sepasang kekasih berpura-pura sebagai suami isteri bagi menyembunyikan hubungan terlarang terbongkar selepas serbuan dilakukan oleh penguat kuasa agama di sebuah rumah sewa di Padang Serai, awal pagi Ahad.


Serbuan yang dilakukan sekitar jam 1.45 pagi itu membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 29 tahun yang masih berstatus isteri orang bersama pasangannya, seorang lelaki bujang berusia 23 tahun.


Menurut Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, pihaknya menerima maklumat awam sebelum menjalankan operasi tersebut.

“Wanita itu masih isteri orang dan memiliki empat anak. Pasangannya pula bekerja sebagai pemandu jentera berat dan berasal dari Changlun,” katanya dalam satu kenyataan.


Siasatan awal mendapati wanita tersebut kini dalam proses perceraian, manakala suaminya sedang menjalani hukuman penjara sejak November tahun lalu atas kesalahan berkaitan dadah.


Difahamkan, anak-anak pasangan itu dijaga oleh ibu bapa mereka di kampung.

“Mereka mengaku sudah berkenalan sejak awal tahun ini, dan lelaki itu mendakwa menumpang tidur di rumah berkenaan atas alasan diupah melakukan kerja-kerja sekitar kawasan Padang Serai,” jelas Anwar.


Kedua-duanya turut memberi alasan kepada jiran bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang baru berkahwin.


Dalam serbuan itu, wanita berkenaan mengambil masa kira-kira lima minit sebelum membuka pintu, manakala pasangannya ditemui bersembunyi di sebalik pintu rumah.


Kes kini disiasat di bawah Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.


Anwar turut menasihati orang ramai agar tidak mempermainkan undang-undang syariah serta menjaga maruah diri dan keluarga terutama dalam hal melibatkan pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post