KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang, mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan netizen susulan kenyataannya yang didakwa menyalahkan golongan wanita sebagai punca suami berlaku curang.
Kenyataan itu dibuat dalam sebuah audio siar (podcast) yang tular di media sosial, di mana Michael menyatakan bahawa kehadiran orang ketiga atau ‘penyondol’ tidak akan menggugat rumah tangga sekiranya si suami benar-benar bahagia bersama pasangannya.
“Lelaki yang curang memang salah, tapi tak boleh salahkan penyondol sahaja. Kau ada tanya tak diri kau kenapa suami cari orang ketiga? Mungkin kepam atau suka korek hidung. Apa yang kau tahu, melalak di media sosial macam anjing,” katanya dalam audio yang kini tular.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan khususnya dalam kalangan wanita yang menganggap pandangan Michael tidak sensitif terhadap realiti kehidupan berumahtangga dan cabaran yang dihadapi golongan isteri.
“Hilang hormat dekat Michael Ang. Perempuan ‘kepam’ sebab jaga anak-anak kecil sampai tak sempat jaga diri sendiri,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Kalau nak wangi 24 jam, suruh lelaki sediakan dua orang pembantu. Ini nafkah pun ke laut,” ujar seorang lagi pengguna.
Sebahagian netizen turut menegaskan bahawa kecurangan tidak berpunca daripada kekurangan pasangan, sebaliknya berpunca daripada hilangnya tanggungjawab dan rasa syukur dalam diri individu yang curang.
Kenyataan Michael itu hadir ketika topik orang ketiga dalam rumah tangga menjadi perbualan hangat di media sosial, susulan beberapa kes perceraian dan konflik rumah tangga membabitkan selebriti tempatan.
Setakat ini, Michael belum mengeluarkan sebarang penjelasan atau kenyataan lanjut berhubung isu yang sedang diperkatakan.
Post a Comment