KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Tindakan seorang lelaki yang menjadikan ibunya seperti pembantu rumah sendiri selepas mendirikan rumah tangga mengundang kecaman netizen apabila kisah itu dikongsi oleh adik kandungnya sendiri di media sosial.
Menurut wanita tersebut, segala-galanya bermula selepas abangnya berkahwin dan memilih untuk terus tinggal bersama ibu mereka di rumah pusaka peninggalan arwah bapa. Namun, sikap abangnya yang berubah serta menantu yang tidak pandai mengurus rumah tangga menyebabkan ibunya menjadi mangsa keadaan.
“Kakak ipar tak pandai masak, jadi mak la yang masak untuk abang setiap hari. Kalau mak tak masak sebab penat, abang tanya kenapa tak masak.
“Kalau mereka suami isteri pergi bercuti pun, balik-balik mak kena sidai baju mereka,” katanya.
Tambah wanita itu lagi, ibunya sudah terlalu letih dengan keadaan tersebut dan pernah menyuarakan hasrat untuk berpindah ke rumah lain. Namun, hasrat itu dihalang oleh abangnya sendiri.
“Mak nak pindah tapi abang aku halang. Alasannya sebab nanti rumah ni kosong. Semua barang dalam rumah pun mak yang punya. Bila mak nak pindah, dia halang, macam perlukan orang gaji,” katanya kesal.
Dia turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap abangnya yang dikatakan terlalu mengutamakan isterinya sehingga sanggup memperlakukan ibu sendiri seperti pembantu rumah.
“Aku faham la nak utamakan isteri, tapi tak perlu sampai layan mak macam orang gaji. Sanggup buat mak sendiri macam tu demi keselesaan isteri,” ujarnya.
Jelas wanita itu lagi, dia dan adik-beradiknya yang lain tidak mampu menegur abang mereka kerana bimbang keselamatan diri.
“Dia jenis baran. Kalau tak ikut cakap dia, boleh jadi agresif. Sebab tu kami takut nak tegur. Risau kena pukul. Jadi memang dah tak ada pilihan lain, kami ajak mak pindah je,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai warganet yang rata-ratanya mengecam sikap anak lelaki berkenaan dan menzahirkan simpati terhadap nasib si ibu.
“Sumpah toksik. Suruh mak buat semua kerja, tapi isteri duduk goyang kaki. Apa perasaan isteri tengok mak mentua dilayan macam tu?” komen seorang netizen.
“Mak dah bersusah payah dari kecil, dah tua pun masih kena layan kerenah anak. Patutnya masa tua ni mak perlu berehat,” kata seorang lagi.
Ramai juga menasihati agar wanita berkenaan membawa ibunya berpindah segera dan tidak terus membiarkan dirinya diperlakukan sedemikian rupa demi menjaga maruah dan kebajikan warga emas tersebut.
Post a Comment