Menurut perkongsiannya di media sosial, wanita tersebut meluahkan rasa musykil apabila bakal isteri pakciknya yang merupakan seorang anak dara lewat usia mula mendesak untuk mempercepatkan pernikahan sejurus wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lelaki itu dimasukkan ke dalam akaun.
“Pakcik aku duda, tiada anak dan dah berumur. Masa dia sihat, mereka rancang nak kahwin dengan hantaran RM5,000. Tapi sekarang dah sakit, dua-dua kaki kena potong, tiba-tiba perempuan tu desak nak kahwin cepat,” katanya.
Tambahnya, permintaan wanita terbabit dianggap keterlaluan apabila menaikkan nilai hantaran kepada RM10,000 selain meminta perhiasan emas sebagai hadiah batal air sembahyang.
“Dia ingat pakcik aku tu apa? Nak urus diri pun tak mampu, apatah lagi nak bagi nafkah,” luahnya dengan nada kecewa.
Apa yang lebih mengecewakan, sepanjang tempoh bapa saudaranya keluar masuk hospital, wanita berkenaan langsung tidak datang melawat.
“Kalau dia ikhlas, tak apa. Tapi apa yang dia minta tu buat aku rasa ada udang di sebalik batu. Bayangkan, dua hari lepas duit KWSP masuk, terus ajak kahwin cepat,” katanya lagi.
Menurutnya, ini bukan kali pertama bapa saudaranya melalui situasi sedemikian. Sebelum ini, lelaki itu pernah berkahwin selepas kematian isteri pertama menggunakan wang KWSP dan bayaran Perkeso, namun perkahwinan tersebut hanya bertahan seketika sebelum bercerai.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya menyokong pandangannya serta menasihati agar keluarga memantau keadaan tersebut dengan lebih teliti.
“Dia nak kikis pakcik awak tu, memang ada perempuan sasar lelaki uzur sebab nak harta,” komen seorang netizen.
“Kalau betul ikhlas, masa sihat pun dia dah jaga pakcik tu. Tapi ni masa sakit pun tak datang jenguk,” tambah seorang lagi.
Ramai menyarankan agar wanita tersebut berbincang secara baik dengan ahli keluarga dan bapa saudaranya demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Post a Comment