KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa vendor yang dilantik untuk membangunkan sistem pemilihan parti telah dibuat secara senyap tanpa perbincangan bersama Biro Politik mahupun Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, pelantikan vendor terbabit yang berlaku sekitar November atau Disember 2024 tidak pernah dibawa untuk penilaian dan perbincangan sewajarnya oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Saya hendak minta maaf kepada kawan-kawan kenapa tidak dibincangkan jadi macam ini (sistem). Kita sudah memberi pandangan yang berbeza pada setiap keputusan.“Pemilihan kita kata fikirkan balik. Kemudian saya dengar ada sistem dan saya orang pertama yang tanya tentang pelantikan vendor sedangkan belum dibawa ke Biro Politik atau MPP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) yang berlangsung di Perak malam tadi dan disiarkan secara langsung melalui media sosialnya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memaklumkan, beliau telah mengangkat isu ini kepada Setiausaha Agung parti, Fuziah Salleh sebelum proses pemilihan diumumkan, namun tiada tindakan susulan dibuat ketika itu.
“Saya ada surat lantikan vendor sama ada November atau Disember 2024. Masa itu tidak ada dengar cerita pemilihan lagi, senyap-senyap lantikan berlaku,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas menerima aduan mengenai kekeliruan dan kekecohan pada minggu pertama proses pemilihan parti, termasuk isu teknikal yang digelar sebagai "kepala dipotong".
“Saya telefon Zaliha dan dia pun akui tak faham sangat (pasal sistem). Kalau dia lupa, saya telefon beliau pada waktu petang lepas Maghrib,” katanya.
Sebelum ini, Dr Zaliha dilaporkan berkata bahawa pihak JPP telah menerima lebih 280 aduan sepanjang proses pemilihan berlangsung, membabitkan pelbagai peringkat seperti pencalonan, kempen dan keputusan cabang.
Penggunaan sistem digital baharu dalam pemilihan parti kali ini telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan calon dan penyokong mereka apabila berlaku beberapa kesilapan teknikal yang memberi kesan kepada keputusan.
Untuk rekod, Rafizi dijangka dicabar oleh Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan yang dijadualkan pada 24 Mei ini.
HIRUK merupakan inisiatif anjuran pasukan Rafizi untuk memastikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus berpaksikan kepada idealisme reformasi walaupun berada dalam tampuk pemerintahan negara.
Post a Comment