KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Lebih 106,000 permohonan untuk mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah diterima sejak awal April lalu dan jumlah tersebut dijangka mencecah sekurang-kurangnya 150,000 menjelang akhir Jun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan ketara itu menunjukkan minat dalam kalangan belia terhadap bidang teknikal semakin tinggi dan tidak lagi dipandang sebagai pilihan kedua.
“TVET bukan lagi pendidikan kelas kedua. TVET adalah ‘game-changer’ kepada anak-anak muda kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Sambutan Hari Belia Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di sini, malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan kini mengiktiraf laluan kemahiran TVET sebagai setaraf dengan laluan akademik arus perdana, dan memberi peluang kepada graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 dan 5 untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.
“Setelah melalui SKM Tahap 4 dan 5, ia sama taraf dengan diploma tanpa perlu melalui sistem pendidikan konvensional,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa institusi pengajian tinggi teknikal kini menerima kemasukan graduan TVET, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Selangor (UNISEL).
“Kemasukan ke institusi berkenaan tidak semestinya tertakluk kepada keputusan peperiksaan seperti SPM atau STPM, sebaliknya lebih berfokus kepada kemahiran teknikal yang dimiliki calon,” tambah beliau.
Ahmad Zahid juga menjelaskan bahawa laluan pendidikan konvensional seperti SPM dan STPM masih relevan, namun beliau sedar tidak semua pelajar menonjol dalam akademik dan ada yang lebih cenderung kepada bidang kemahiran.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai prospek kerjaya yang semakin luas dalam sektor teknikal, termasuk industri e-hailing, p-hailing, penghantaran makanan, perfileman, dan animasi.
Selain itu, beliau menggalakkan belia untuk menceburi bidang e-sukan yang kini semakin berkembang dan mempunyai nilai ekonomi tinggi.
“Institusi pengajian tinggi seperti UniKL menambah kursus berkaitan bidang itu. Penambahan bidang latihan berkaitan e-sukan bukan sahaja mencungkil bakat dari aspek permainan, tetapi juga pembangunan perisian, pengurusan dan keusahawanan,” katanya.
Sambutan Hari Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan 2024 yang bertemakan “Yakin Boleh” itu telah dihadiri lebih 10,000 orang belia dari seluruh Kuala Lumpur.
Post a Comment