PETALING JAYA, 18 Mei – Pelakon popular Fattah Amin menafikan khabar angin bahawa dia dan penyanyi Amira Othman bakal mendirikan rumah tangga pada 25 Mei ini seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk menamatkan zaman dudanya.
“Tiada tarikh kahwin. Saya nafikan perkara itu, tarikh nak kahwin tu memang tak wujud,” katanya ketika ditemui wartawan mStar pada majlis Pesta Unifi TV Lagi Best yang berlangsung di The Curve, Damansara, Selangor, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Fattah tidak menolak kemungkinan spekulasi itu timbul disebabkan keterujaan peminat yang ingin melihat dia dan Amira disatukan sebagai pasangan suami isteri.
“Timbul isu tarikh ini mungkin daripada peminat, mereka mahu hubungan kami ke fasa seterusnya. Tapi untuk sekarang saya boleh cakap kami tak lebih daripada rakan sekerja,” jelasnya lagi.
Pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu turut menegaskan bahawa pertemuannya bersama keluarga Amira sebelum ini hanyalah secara kebetulan, termasuk pertemuan mereka di Singapura.
“Terjumpa di Singapura hari itu sebab kebetulan. Penganjur acara di sana sebelum ini pernah jemput saya dan baru-baru ini mereka nak ada Amira sekali.Keluarga dia pun duduk di Johor Bahru dan nak ikut Amira, jadi memang kebetulan terjumpa di sana.”
Tambahnya, pemakaian pakaian berwarna sedondon yang menjadi bualan warganet juga hanyalah secara tidak dirancang memandangkan mereka masih terikat dengan beberapa kontrak kerja bersama.
Terdahulu, khabar angin mengenai hubungan istimewa Fattah dan Amira kembali menjadi perhatian selepas mereka dikatakan sering meluangkan masa bersama dan bertemu keluarga masing-masing.
Post a Comment