Batu Pahat, Johor – Pelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menjadi kenangan terakhir buat dua beradik apabila Norizah Tambunan Nordin, 47, meninggal dunia di Tanah Suci Makkah, hanya beberapa jam selepas tiba bagi menunaikan ibadah haji.
Menurut adik beliau, Anggiat Tambunan, 44, pemergian kakaknya sangat mengejutkan kerana baru sahaja dihantar ke lapangan terbang sehari sebelumnya. Arwah yang berangkat bersama rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ), sempat memaklumkan telah selamat tiba di Jeddah pada jam 1 pagi Jumaat waktu tempatan.
“Tak sampai 24 jam selepas tiba, arwah telah pergi buat selama-lamanya. Dia meninggal pada hari Jumaat ketika sedang beribadah,” kata Anggiat kepada mStar.
Arwah yang menetap di Batu Pahat menjalani kehidupan sederhana selepas pemergian ibu dan adik perempuannya pada 2021 dan 2022. Sepanjang hidupnya, Norizah lebih banyak menghabiskan masa dengan beribadah dan menjaga kucing-kucing terbiar.
“Dia sangat sayangkan kucing. Sebelum berangkat, dia berpesan pada jiran supaya beri makanan pada kucing yang selalu datang ke rumah,” kata Anggiat.
Malah, sejak pemergian arwah, kucing-kucing tersebut tidak lagi muncul di rumah seperti kebiasaan.
Norizah, yang bertugas di Pejabat Daerah Batu Pahat, tidak mempunyai masalah kesihatan serius dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 26 Jun. Namun, Allah lebih menyayanginya apabila beliau disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di dalam Masjidil Haram, dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar.
“Doanya pada 2019 semasa menunaikan umrah, agar dapat kembali ke Tanah Suci, telah dimakbulkan. Bukan sekadar satu saat, tapi selama-lamanya,” kata Anggiat sebak.
Arwah dikenang sebagai seorang yang positif, penyayang, dan sentiasa memberi semangat kepada keluarga dan orang sekeliling.
Post a Comment