Bekas Suami Antara Suspek Kes Tetak di Puchong

 

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Polis Subang Jaya mengesahkan salah seorang suspek utama dalam kes serangan tetak dan pukul di Taman Puchong Intan awal pagi semalam merupakan bekas suami kepada teman wanita mangsa.


Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar, lelaki berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau.

"Setakat ini, tiga individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk teman wanita mangsa. Polis masih mengesan tiga lagi suspek lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Insiden berlaku sekitar jam 2.15 pagi apabila mangsa, seorang lelaki berusia 47 tahun, diserang di hadapan rumah sewanya oleh tiga individu yang bersenjatakan objek tajam dan tumpul. Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan, dan kini sedang dirawat di Hospital Serdang.


Mohd Fairus berkata siasatan awal mendapati motif serangan dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga dan perasaan cemburuKes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan bagi menahan kesemua suspek yang masih bebas.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post