KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Dunia kewartawanan hiburan tanah air kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila bekas wartawan dan penerbit majalah tersohor, Fauziah Rauf, meninggal dunia awal pagi Ahad di Hospital Selayang akibat pendarahan di kepala.
Allahyarham yang berusia 81 tahun dipercayai terjatuh di kediaman sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Menurut anaknya, Nilly Wahida Omar Sudi, ibunya hanya menghidap penyakit darah tinggi sebelum ini dan sentiasa mengambil ubat seperti biasa.
“Arwah terjatuh dan berlaku pendarahan pada kepalanya,” ujar Nilly ringkas ketika dihubungi pihak media.
Fauziah merupakan bekas wartawan majalah Wanita di bawah akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan pernah menubuhkan syarikat penerbitan Nilly Publications, yang menerbitkan majalah hiburan terkenal seperti Pesta, Hawa, dan Pentas Dunia.
Majalah Pesta khususnya menjadi antara penerbitan popular era 80-an dan 90-an yang menonjolkan kisah artis tanah air, menjadikan Fauziah antara tokoh yang berpengaruh dalam industri hiburan.
Allahyarham juga merupakan pengasas dan presiden pertama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM). Pada tahun 2017, beliau telah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA), anjuran bersama FINAS dan WHAM.
Suaminya, Allahyarham Omar Sudi atau dikenali sebagai Omar Manan, juga figura penting dalam dunia seni dan pengasas Persatuan Seniman. Allahyarham Fauziah meninggalkan empat orang anak dan 13 cucu. Jenazah beliau dijadualkan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Selayang Baru, Selangor.
Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada dunia kewartawanan hiburan negara.
Post a Comment