SING BURI, THAILAND, 25 Mei 2025 – Seorang wanita hamil tujuh bulan maut selepas mengalami sawan di jalan raya dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di wilayah Sing Buri pada Jumaat lalu.
Mangsa dikenali sebagai Bee, 34, yang tinggal bersama ibunya, Nee, 64, dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun. Menurut ibunya, beliau tidak mengetahui anaknya sedang hamil dan hanya dimaklumkan oleh pihak hospital ketika Bee dimasukkan ke unit kecemasan.
“Saya benar-benar terkejut. Bee tidak pernah beritahu dan dia sering memakai pakaian longgar untuk menyembunyikan kandungan,” kata Nee dalam kenyataannya kepada media tempatan.
Pihak hospital memaklumkan bahawa keadaan Bee ketika tiba adalah sangat kritikal, dan usaha menyelamatkan bayi dalam kandungan gagal dilakukan.
“Kedua-dua ibu dan anak tidak dapat diselamatkan. Bee disahkan meninggal dunia akibat kesesakan paru-paru dan komplikasi berkaitan penggunaan dadah,” jelas jurucakap hospital.
Difahamkan, dua hari sebelum kejadian, Bee hadir ke mahkamah untuk kes berkaitan dadah dan diwajibkan melapor diri secara berkala sebagai sebahagian daripada prosedur undang-undang.
Pihak keluarga masih belum mengetahui identiti bapa kepada bayi tersebut. Nee turut menyatakan mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Post a Comment