KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Seorang wanita berkongsi dilema yang dihadapinya apabila bekas suami meletakkan syarat ketat untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka, termasuk mahu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah.
Menerusi perkongsian yang tular di platform X, wanita itu mendedahkan bahawa bekas suaminya pernah menjadi mangsa serangan seksual oleh bapa tirinya ketika kecil, dan kini mengambil langkah ekstrem dalam menjaga keselamatan anak-anak mereka berikutan trauma yang masih berbekas.
“Bekas suami aku pernah kena rogol dengan ayah tiri dia. Sekarang aku nak kahwin lain, dia letak syarat nak pasang CCTV dalam bilik anak dan ruang tamu. Kalau tak, anak kena duduk dengan dia,” tulis wanita itu.
Wanita berkenaan menyatakan bahawa permintaan tersebut memberi tekanan kepadanya, khususnya kerana dia bertudung dan tidak berhijab ketika berada di dalam rumah.
“Ini tak adil sebab aku bertudung dan dekat rumah free hair. Dia bagi pilihan, sama ada anak tinggal dengan dia atau aku kena pasang CCTV,” jelasnya.
Beliau turut mempertikaikan sikap bekas suami yang dikatakan berat sebelah, kerana membenarkan anak-anak diasuh oleh ahli keluarga sendiri tanpa syarat keselamatan yang sama.
Menurut wanita tersebut, perceraian mereka berpunca daripada suasana rumah tangga yang tidak harmoni serta perbezaan pandangan dalam pengurusan keluarga.
“Kami bercerai sebab selalu bergaduh dan rumah tak tenang. Dia selalu cakap aku gagal sebagai mak sebab nak bekerja lepas kahwin. Masalahnya aku dah biasa kerja. Kalau duduk rumah, aku jadi tertekan,” katanya.
Bekas suaminya turut dikatakan sering memeriksa anak-anak secara fizikal dan mahu mengawal sepenuhnya pergerakan mereka, termasuk memantau menerusi CCTV walaupun hanya bermalam semalaman di rumah ibu.
“Even tidur semalam dua pun dia nak monitor CCTV. Anak-anak pula suka ikut dia sebab dia selalu bawa makan sedap-sedap dan duduk rumah adik ipar yang ada ramai sepupu,” tambah wanita itu.
Post a Comment