Harga Minyak Sawit antara RM3,750 ke RM4,050


 

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka kekal dalam julat antara RM3,750 hingga RM4,050 satu tan pada bulan Mei sebelum menunjukkan pemulihan beransur-ansur, demikian menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).


MPOC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 298,000 tan pada April berbanding bulan sebelumnya, dipacu oleh aktiviti penuaian tertangguh pada Mac akibat musim tengkujuh.


“Peningkatan sederhana pengeluaran dijangka berterusan dari Mei hingga September, dipengaruhi kesan asas yang tinggi,” jelas MPOC.


Seiring peningkatan itu, stok minyak sawit melonjak 303,000 tan, merekodkan paras tertinggi dalam tempoh enam bulan, dipengaruhi juga oleh prestasi eksport yang lemah pada Mac dan April.


Menurut MPOC, Afrika Sub-Sahara kekal sebagai pasaran eksport terbesar, mencatatkan pertumbuhan 24 peratus dalam empat bulan pertama 2025, manakala ASEAN mencatatkan pertumbuhan lapan peratus. Namun, eksport ke rantau lain mengalami penurunan.


Dalam masa yang sama, pasaran minyak sayuran dan tenaga global terus berdepan ketidaktentuan disebabkan:

  • Ketegangan perdagangan Amerika Syarikat–China
  • Keputusan OPEC menambah pengeluaran minyak mentah mulai Jun

“Harga minyak sawit telah susut 18 peratus sejak April, manakala harga minyak kacang soya meningkat tujuh peratus. Harga minyak mentah pula jatuh mendadak sebanyak 20 peratus,” kata MPOC.


Di India, semakan harga rujukan oleh kerajaan menjadikan duti import minyak sawit AS$15 lebih rendah berbanding minyak kacang soya – dijangka meningkatkan daya saing dan permintaan terhadap minyak sawit.

Situasi serupa turut berlaku di China, dengan jurang harga antara minyak olein sawit dan kacang soya mengecil kepada hanya AS$51 setakat 16 Mei, berbanding AS$260 pada Disember 2024.

“Ini memberi isyarat permulaan pemulihan permintaan import sawit menjelang musim puncak permintaan pada Jun,” tambah MPOC. Stok minyak sayuran di China juga kekal selesa pada paras 1.76 juta tan.


MPOC turut melaporkan tekanan ketara dalam sektor biodiesel global:

Di AS, pengeluaran biodiesel merosot 24 peratus kepada dua juta tan dalam dua bulan pertama 2025.

Penggunaan bahan mentah utama juga menurun:

  • Minyak kanola: -57%
  • Minyak kacang soya: -33%
  • Minyak masak terpakai: -31%


Pengeluaran biodiesel global dijangka turun 1.7 juta tan, dengan AS menyumbang sejuta tan daripada penurunan tersebut.

Bagaimanapun, Indonesia kekal stabil, mencatatkan pengeluaran 1.9 juta tan biodiesel dalam dua bulan pertama 2025 – peningkatan dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi itu menunjukkan Indonesia berada pada landasan untuk mencapai sasaran tahunan 13.7 juta tan,” jelas kenyataan itu. 

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post