KLANG, 20 Mei 2025 – Cubaan seorang lelaki menggunakan van sekolah sebagai helah bagi mengedarkan minuman keras tidak bercukai di sekitar kawasan Klang gagal apabila ditahan dalam satu serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, Unit Risikan Marin PPM Pelabuhan Klang menahan seorang lelaki berusia 26 tahun ketika sedang memindahkan minuman keras dari sebuah lori ke dalam van sekolah di kawasan parkir Taman Sri Gadong.
Menurut Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari, pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan menemui 56 kotak dan 30 crack minuman keras pelbagai jenama bernilai RM10,664.40, dengan anggaran nilai cukai RM36,889.57.
“Kedua-dua kenderaan yang digunakan dianggarkan bernilai RM70,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM117,553.97,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusley berkata suspek mengaku terbabit dalam aktiviti pengedaran arak tidak bercukai di kawasan Klang. Kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 74 Akta Eksais 1976 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Pihak berkuasa menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kenderaan awam untuk tujuan jenayah.
Post a Comment