SEMPORNA, 20 Mei 2025 – Kegembiraan seorang pelancong lelaki warga China menyertai aktiviti menyelam di perairan Pulau Sipadan berakhir tragedi apabila dia disahkan lemas dalam kejadian semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sobri Zainol, mangsa berusia 37 tahun itu dipercayai turun menyelam tanpa pengawasan dan kebenaran jurulatih, sebelum dilihat dalam keadaan panik dan tenggelam pada jam 10.45 pagi.
“Pelancong itu merupakan salah seorang daripada lapan peserta menyelam dari pelbagai negara yang dikendalikan seorang jurulatih bersama empat juruselam profesional lain. Dia dipercayai turun ke laut sendiri dan mula panik sebelum tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang juruselam profesional bertindak segera dengan menyelam ke dasar dan menemui mangsa pada kedalaman kira-kira 25 meter dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan dan sempat memberi respons dengan menarik nafas panjang serta muntah, namun kembali tidak sedarkan diri,” jelas Mohd Sobri.
Mangsa dibawa ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.
Difahamkan, isteri mangsa turut berada di atas bot semasa kejadian berlaku. Pihak polis telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR), dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 2 petang hari ini di Hospital Tawau.
Post a Comment