MAKKAH, 20 Mei 2025 – Seorang jemaah haji Malaysia, Abdullah Mat, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menunaikan ibadah tawaf di Masjidil Haram awal pagi tadi, kira-kira sebelum azan Subuh.
Menurut isterinya, Sarifah Hasan, 57, beliau dimaklumkan tentang pemergian suaminya oleh pihak hospital selepas Subuh.
“Saya tergamam, terus menangis dan memeluk rakan sebilik. Waktu itu saya belum tahu pun suami dirawat di hospital mana, hanya diberitahu beliau berada di zon kecemasan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui media.
Sarifah berkata, walaupun pemergian itu amat mengejutkan, beliau reda dengan takdir Allah dan menganggap suaminya antara insan terpilih kerana meninggal dunia di Tanah Suci.
“Anak-anak pujuk saya, mereka kata ‘Mak kuat, Mak, abah orang terpilih. Allah pilih dia pergi di tempat yang baik’. Saya terima ketentuan ini dengan hati yang reda,” ujarnya.
Menurut rakan sebilik arwah, Ashri Mohamed, 52, beliau merupakan individu terakhir yang berada bersama Abdullah sebelum arwah rebah secara tiba-tiba semasa pusingan kelima tawaf, kira-kira 2.30 pagi waktu tempatan.
“Kami baru selesai solat dan mula bertawaf. Pada pusingan kelima, arwah kelihatan semakin lemah. Saya berada di belakangnya dan sempat menyambut tubuhnya ketika dia hampir rebah,” jelasnya.
Tambah Ashri, kejadian berlaku berhampiran tanda lampu hijau, lokasi permulaan tawaf. Seorang doktor dari India yang berada berdekatan turut memberikan bantuan awal sebelum pasukan perubatan tiba 10 minit kemudian.
Abdullah merupakan kakitangan Jabatan Tanah dan Galian Kota Bharu, dan sedang menunaikan haji bersama isterinya. Arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar, Jabal Qamar, pada jam 4.15 pagi, kira-kira seminit sebelum azan Subuh.
Post a Comment